Tuesday, December 15, 2009

PENGEMIS OH PENGEMIS



Seorang wanita pertengahan 40-an sedang asyik menyusukan anaknya yang berusia kurang dua tahun. Di sisinya, kelihatan beberapa beg plastik yang mungkin menyimpan pelbagai barangan peribadi.Tanpa mempedulikan orang ramai yang lalu-lalang, wanita comot, berpakaian lusuh dan tidak terurus itu terus menadah tangan menagih simpati meminta dihulurkan wang. Sesekali renungan sayu wanita itu terganggu dek tangisan anaknya yang mungkin lapar atau kurang selesa dengan persekitaran.

Fenomena seperti itu mungkin bukan asing bagi warga kota, sebaliknya golongan pengemis, orang kurang siuman dan kutu rayau seolah-olah menjadi sebahagian daripada warna-warni di ibu kota. Antara tempat tumpuan golongan ini termasuklah sekitar kaki lima Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit yang sememangnya disajikan pemandangan sebegitu sejak sekian lama. Selain kaki lima, jejantas yang menjadi laluan orang ramai turut menjadi tumpuan golongan ini.

Hanya dengan duduk di kaki lima jejantas sambil menadah bekas untuk diisi syiling, mereka dikatakan mampu meraih pendapatan sehingga RM100 sehari. Kegiatan itu bertambah rancak pada hujung minggu apabila kawasan sekitar menjadi tumpuan warga kota untuk membeli-belah. Mereka juga dikatakan bijak mengatur strategi dengan bertukar-tukar lokasi bagi mengelakkan kegiatan dikesan oleh pihak berkuasa.
Sampai bilakah fenomena ini harus berlaku di negara kita, adakah ini berlaku atas kesilapan kita sendiri yang mungkin terdapat sesetengah daripada kita yang terlalu prihatin pada nasib mereka dan dengan sewenang-wenangnya menghulurkan sedekah tiap kali melalui kawasan2 tersebut? fikirkanlah, walaupun niat kita murni tetapi ini mungkin mendatangkan keburukan dan menggalakkan lebih ramai lagi pengemis di negara kita ini.

No comments:

Post a Comment